Jumaat, 27 Ogos 2010

PEMBUANGAN BAYI KINI DI MANA SILAPNYA????

Malaysia kini dengan bangganya menuju ke alaf baru yang berorientasikan sains dan teknologi. Namun mereka alpa dengan perkembangan sosial di negara ini. Saban hari, terdapat laporan bayi yang dijumpai di dalam tandas, di tepi longkang, dan lain-lain tempat tanpa ada perasaan perikemanusiaan.

Kebanyakan kehamilan remaja berpunca dari seks sebelum kahwin, sumbang mahram, rogol dan penderaan seksual. Keadaan ini telah menyebabkan remaja-remaja kini menghadapi pelbagai cabaran kerana mereka belum bersedia untuk menjaga bayimereka. Oleh itu, mereka terpaksa bertindak untuk membuang bayi mereka. Keadaan mereka yang sedang berada di alam persekolahan dan masih mengalami proses tumbesaran dan kematangan telah mengeruhkan lagi keadaan kerana mereka perlu berhadapan dengan akibat kehamilan semasa remaja dari segi perubatan psikologi sosial.

Keadaan sekeliling juga telah memaksa mereka untuk berhadapan dengan sikap masyarakat yang tidak prihatin, hanya berpeluk tubuh, dan mengabaikan isu itu turut menjadi punca gejala ini menjadi-jadi. Sikap ini adalah sesuatu yang memalukan dan telah menyebabkan masalah pembuangan bayi masih terus berleluasa.


Hati saya menjadi lebih sayu apabila melihat fotonya,mengetahui dahsyatnya fenomena hari ini, zaman dimana penuh dengan pembangunan dan pendidikan. Di manakah kesedaran masyarakat dan apakah jalan penyelesainya????.

Disediakan oleh: LATIPAH BINTI ALI
Nombor matrik: 198634

SENARIO PEMBUANGAN BAYI...APAKAH DOSA BAYI INI??

Kisah bayi malang ini dipaparkan diruangan akhbar utusan pada 6 Februari 2007. Kejadian berlaku di Seremban bertarikh 5 Februari. Bayi tersebut ditemui terdampar di Flat Lobak, dengan kepala dan hidung yang masih berlumuran darah serta tali pusat yang masih terlekat dan dipercayai meninggal dunia dalam tempoh lebih 24 jam di satu lokasi lain. 

             Bayi tersebut sebenarnya ingin dibuang di kawasan tong sampah tetapi bayi yang tidak berdosa tersebut hanya ditinggalkan di kawasan semak tersebut selepas insan yang tidak bertanggungjawab tersebut melihat orang ramai lalu di kawasan tersebut. Mayat bayi malang yang ditinggalkan di kawasan semak itu ditemui penduduk kira-kira pukul 11.45 pagi. Bayi tersebut sudah meninggal lebih dari 24 jam kerana keadaan mayat bayi tersebut yang sudah mempunyai kesan biru pada kaki. Selain itu, bayi tersebut disyaki berketurunan Cina. 

            Sementara itu, suasana hiba dan pilu jelas terbayang pada wajah orang ramai yang menyaksikan bayi berkenaan ketika mayatnya diangkat oleh anggota polis, malahan ada yang mengalirkan air mata melihat kekejaman yang dilakukan oleh manusia tidak bertanggungjawab itu. Mereka berkata, ini bukan kerja manusia tetapi manusia yang bertopeng ‘binatang’. Gan Xie Hua, berusia 50-an yang mula-mula menemui mayat bayi berkenaan berkata, dia terkejut dengan kejadian ini dan sebaik terlihat objek di atas rumput belakang flat berkenaan, hatinya sudah tergerak apa yang dilihat itu memang seorang bayi yang telah dibuang. “Apabila saya menghampirinya, saya menggigil dan ia mayat bayi lelaki yang cukup sifat. Saya bergegas ke rumah seorang jiran dan memberitahunya. Apabila saya menjelaskan kepadanya, dia tidak percaya. “Tetapi selepas menghampiri mayat itu, dia percaya itu adalah bayi lelaki yang sudah meninggal dunia. Kami terus menghubungi polis,” katanya. 

Disediakan oleh: SUZANA BINTI MOHD JAMIL
Nombor matrik:  198878

Statistik Pembuangan Bayi


Masalah pembuangan bayi di Malaysia kian menjadi, kita sering terbaca berita tentang pembuangan bayi dalam surat khabar dan media - media yang lain. Beberapa kajian yang dilakukan di Malaysia menunjukkan 27 peratus daripada remaja kita hari ini mengadakan hubungan seks luar nikah. Majlis HEWI PKPIM juga melihat senario pembuangan bayi yang berlaku sejak akhir-akhir ini sangat kritikal dan perlu ditangani habishabisan oleh semua pihak. 

Pada tahun 2006, sebanyak 83 kes telah dicatatkan di seluruh negara berbanding 65 kes pada 2000. Sepanjang tempoh 2000 hingga 2006, sejumlah 580 pembuangan bayi telah dicatatkan dengan 48 daripadanya masih merupakan janin. Apa yang lebih membimbangkan lagi ialah pembuangan bayi turut menular di institusi pengajian tinggi (IPT). Perangkaan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman merekodkan 580 kes buang bayi dari 2000 hingga tahun lalu, dengan Selangor dan Johor mencatat kes paling tinggi. Pada 2000, 65 kes dicatatkan di seluruh negara, 2001 (97 kes), 2002 (98 kes), 2003 (92kes), 2004 (78 kes), 2005 (67 kes) dan 2006 (83 kes). Tahun lalu sahaja, daripada 83 kes di seluruh negara, Selangor mencatatkan 24 kes, Johor (21 kes), Sarawak (12 kes), Sabah (11 kes), Kedah, Negeri Sembilan dan Pahang (masing-masing tiga kes), Perak dan Melaka (dua kes) serta Kelantan dan Terengganu (satu kes). Statistik sama turut mencatatkan usia bayi yang dibuang membabitkan dua kategori, iaitu janin dan baru lahir. Untuk janin, 48 kes dilaporkan dalam tempoh 2000 hingga 2006, manakala baru lahir pula 532 kes.

Gejala buang bayi adalah bukti yang paling nyata bahawa masyarakat kita sedang dilanda oleh masalah keruntuhan moral yang serius. Kebejatan sosial yang sedang berlaku itu menandakan bahawa masyarakat kita sedang sakit. Sekaligus menunjukkan betapa proses pembangunan yang dilaksanakan dalam negara kita berada pada kedudukan yang tidak seimbang.


Disediakan oleh : LEOW SZE YANG
Nombor matrik  : 204872

PUNCA...!!! BUDAYA DOSA! Di mana salahnya???

Gejala pembuangan bayi yang semakin merebak dan menjadi barah dalam kalangan masyarakat kita, sebenarnya adalah gejala sejagat.Tidak hanya di Malaysia, malah negara – negara di seluruh dunia dihujani masalah yang sama. Kita tidak boleh menuding jari kepada suatu pihak semata, tetapi perlu memandang punca masalah ini dari pelbagai aspek.

Kajian yang dilakukan oleh Pakar Psikologi Kanak – kanak dan Remaja dari Univesiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Khaidzir ismail melalui “Kajian Profil Remaja Perempuan Risiko Tinggi terhadap kalangan remaja perempuan berisiko tinggi atau bermasalah” memberi pendedahan bahawa punca sebenar terletak pada keluarga yang bermasalah. Konflik rumah tangga membentuk personaliti anak – anak khususnya remaja. Pergolakan dalam keluarga mendesak remaja keluar mencari tempat dan rakan untuk mengatasi keadaan hidup mereka. Tanpa pengawasan, anak – anak menjadi liberal, bersikap kurang ajar dan merencana kehidupan mengikut kehendak hati.

Punca daripada kurangnya pengetahuan agama sedikit sebanyak menyumbang kepada berlakunya gejala yang langsung tidak bermoral ini. Remaja khususnya, golongan ini cetek pengetahuan dalam pergaulan dan tindakan. Mereka melakukan maksiat tanpa mengambil kira dosa atau pahala. Bagi mereka, perbuatan keji adalah sesuatu yang patut dicuba. Tiada pegangan agama sebegini menyebabkan kebejatan akhlak. Seharusnya mereka mengambil iktibar dengan keruntuhan tamadun pada suatu masa dulu. Turun naiknya tamadun adalah seiring dengan pegangan agama. Jika tiada goyah pegangan agama, maka runtuhlah tamadun tersebut. Begitu jugalah konsepnya dengan manusia.


Disediakan oleh: NOR SYUHADAH BT SAIDDIN
Nombor matrik: 199602

PUNCA..!!! Di Sebalik Kebejatan Sosial ini.....

Rakan merupakan salah satu aset yang mempengaruhi perkembangan remaja. Oleh itu, tidak hairanlah pengaruh daripada rakan sebaya merupakan punca yang menyebabkan kes pembuangan bayi berlaku.Pada peringkat usia muda,golongan remaja lebih cenderung dipengaruhi oleh rakan sebaya dan hal ini bertambah parah jika mereka bergaul dengan rakan yang negatif. Secara tidak langsung, rakan sedemikian akan mengajak dan mempengaruhi mereka melakukan perkara di luar batasan agama dan norma masyarakat. Tamsilnya, pergi ke pusat hiburan seperti disko, terlibat dalam kancah penyalahgunaan dadah dan melakukan pergaulan bebas. Remaja yang terjerumus dalam kehidupan negatif tersebut akan melakukan hubungan seks rambang dan akhirnya menemui jalan buntu apabila di dapati mengandung. Dalam keadaan terdesak, tanpa berfikir panjang, bayi yang tidak bersalah itu akan dibuang tanpa belas kasihan.

Kes pembuangan bayi dalam kalangan remaja salah satunya adalah berpunca daripada sikap masyarakat yang suka mengkritik dan menghukun remaja yang terlanjur, mengandung dan melahirkan anak luar nikah. Tidak dapat dinafikan, sudah pasti masyarakat setempat akan menghina, mencaci dan memandang rendah kepada remaja perempuan yang melahirkan anak luar nikah. Secara tidak langsung, hal demikian akan menyebabkan remaja perempuan terbabit dianggap menjatuhkan maruah keluarganya. Tanpa berfikir secara rasional, demi menjaga imej diri dan keluarga,remaja tersebut akan mengambil jalan singkat dengan membuangkan bayi yang tidak berdosa itu agar tidak dipandang jijik oleh masyarakat.


Disediakan oleh: SITI ZULAIKHA BT HASAN
Nombor matrik: 199585

Implikasi Pembuangan Bayi

Pembuangan bayi dalam kalangan remaja pada hari ini akan memberi kesan dan impak yang begitu besar dalam masyarakat. Remaja merupakan aset utama Negara pada masa akan datang, memainkan peranan yang sangat penting dalam pembangunan negara. Kesan jangka panjang dan jangka pendek pasti akan berlaku seandainya remaja pada hari ini tidak tahu bagaimana untuk membentuk dan memuliakan akhlak mereka.

Kesan –kesan pembuangan bayi boleh diklasifikasikan kepada beberapa bahagian seperti kesan kepada bayi, ibu yang melahirkan, keluarga remaja perempuan yang terlibat dalam pembuangan bayi, kesan kepada masyarakat dan juga kesan kepada negara kita sendiri.

Bayi merupakan anugerah Tuhan yang paling berharga kepada pasangan suami isteri tetapi bayi juga menjadi bebanan kepada pasangan-pasangan kekasih yang telah terlanjur dan tidak bersedia memikul tanggungjawab di usia yang masih mentah iaitu usia remaja. Akibat daripada tiada perikemanusiaan, bayi telah menjadi mangsa dan kesannya mereka hidup tanpa mengenal ibu bapa kandung. Mereka juga mungkin terpaksa memikul gelaran anak luar nikah walaupun mereka tidak berdosa.

Apa yang lebih teruk, bayi-bayi ini mati akibat daripada perbuatan yang dilakukan oleh manusia yang tidak mempunyai hati nurani kerana bayi-bayi ini dibuang di tempat yang tidak sepatutnya diduduki oleh bayi yang masih lemah dan kecil, misalnya dibuang di tandas, rumah kosong, sungai, longkang, tong sampah atau rumah ibadat. Selain itu,tempat-tempat tumpuan awam seperti gerai makan, stesen kereta api dan pintu pagar klinik kesihatan turut menjadi pilihan.
Kesan yang kedua adalah kesan kesihatan kepada ibu bayi berkenaan atau pesalah. Kesan dari sudut perubatan adalah pesalah akan mengalami jangkitan kuman, kecederaan sewaktu bersalin dan juga kehilangan darah kerana tidak berada dalam jagaan yang sebenar. Majoritinya mereka melahirkan sendiri tanpa pertolongan pihak hospital mahupun orang lain.

Disediakan oleh: MOHD FARHAN IZZAT BIN CHE JOHAN
Nombor matrik:  205039

Implikasi Pembuangan Bayi

Selain itu, kesan dari segi psikologi dan sosial adalah pesalah akan mengalami kemurungan, hilang keyakinan diri, rasa bersalah, resah dan juga masalah emosi. Hal ini akibat daripada perbuatan mereka sendiri yang salah dari segi undang-undang agama dan negara. 

Akibat daripada pembuangan bayi,akan berlakunya keruntuhan institusi kekeluargaan dan menyumbang kepada ketidakharmonian dalam sesebuah keluarga. Hal ini disebabkan, ibu bapa berasa malu mempunyai anak sebegitu. Tambahan pula pandangan daripada jiran sekeliling menyebabkan mereka malu untuk berhadapan dengan orang ramai. Mungkin juga akan berlakunya penceraian kerana si ibu, akan menyalahkan si bapa dan si bapa pula akan menyalahkan si ibu kerana tidak pandai memelihara anak-anak sehingga menconteng arang di muka mereka. Jika ini berlaku, masa depan anak-anak akan terbiar dan tidak terpelihara. 

Sememangnya tidak dapat disangkal lagi,pembuangan bayi memberikan kesan yang sangat besar kepada negara.Jatuh dan bangun sesebuah negara dan masyarakat bergantung kepada akhlak remaja atau generasi pada masa kini. Implikasinya, pembangunan negara akan terbantut dan keadaan ekonomi juga sukar berkembang akibat daripada masalah tersebut kerana negara terpaksa membelanjakan wang yang lebih bagi mendirikan rumah-rumah kebajikan masyarakat demi menampung bayi yang lahir daripada perkahwinan yang tidak sah. 

Pembuangan bayi kini telah menjadi satu gejala remaja di malaysia. Perkara ini perlu dipandang serius oleh semua pihak kerana ianya mencemarkan imej negara.Golongan remaja perlu sedar, kerana usaha mencegah akan menjadi sia-sia jika remaja masih lagi tewas kepada nafsu mereka.

Disediakan oleh: MUHAMAD ADIB BIN MOHAMMED
Nombor matrik:  205036

LANGKAH - LANGKAH PENYELESAIANNYA

Kerajaan perlu mengambil langkah untuk mengkaji semula Seksyen 317 dan 318 Kanun Keseksaan agar denda yang lebih berat dikenakan ke atas mereka yang bersalah. Ini perlu dilakukan agar remaja akan berasa takut dan serik untuk membuang bayi. Ekoran mereka akan berhati-hati semasa bergaul dan mengelakkan hubungan yang melampaui batasan agama. Ini membolehkan mereka menghayati gaya hidup sihat. Kejadian mengandung luar nikah dan membuang bayi pasti dapat dielakkan.

Pihak kerajaan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (UKM), misalnya perlu menubuhkan pusat-pusat jagaan untuk ibu-ibu muda yang mengandung. Pusat ini boleh berfungsi sebagai tempat remaja berkenaan mengadu dan mendapatkan bimbingan. Dengan cara ini, nyawa bayi tidak berdosa boleh diselamatkan. Di samping itu, ibu-ibu yang mengandung ini boleh menebus dosa mereka dengan menjadi ahli masyarakat yang berguna.
Selain itu, kerjasama antara kerajaan dan pihak media massa dalam memberi pendedahan tentang kesan pembuangan bayi kepada masyarakat luar adalah amat penting. Kempen-kempen kesedaran dan program-program motivasi haruslah dilaksanakan oleh pihak media amat sebagai contoh pendedahan berbentuk grafik atau ‘kisah benar’ tentang seseorang yang pernah membuang anak dan ini akan membangkitkan kesedaran para remaja. Program motivasi kesedaran seperti ‘Adab bergaul’ dan ‘Dosa-Dosa Besar’ juga mampu memperkuatkan lagi rasa insaf dan takut remaja kepada dosa. Pihak kerajaan juga perlu memberi arahan kepada media massa supaya mengawal dan memberhentikan program-program hiburan melampau yang boleh merosakkan akhlak remaja seperti cerita-cerita yang mengandungi adegan-adegan seks dan berunsur lucah.

Ibu bapa perlu memainkan peranan dalam memberi didikan agama yang sempurna kepada anak-anak seawal yang mungkin bagi memandu mereka kearah kebaikan. Ibubapa seharusnya tidak hanya menekan dan mementingkan pendedahan anak-anak hanya untuk dalam bidang akedemik semata-mata tetapi anak-anak seharusnya diperkukuhkan dengan pendedahan agama yang sempurna. Dengan iman yang kukuh mereka tidak mudah terpengaruh dengan gejala sosial. Ini kerana, mereka boleh membezakan antara yang baik dengan yang buruk.
Disediakan oleh: NUR NABILAH BINTI MALEK
Nombor matrik: 198883

CIRI-CIRI DALAM DIRI REMAJA YANG TERLIBAT DALAM KES PEMBUANGAN BAYI

Berdasarkan pemerhatian dan penelitian kami dalam beberapa rujukan mendapati terdapat ciri-ciri tertentu bagi remaja yang terlibat dalam masalah pembuangan bayi. Antaranya terdapat kecelaruan identiti remaja. Terdapat banyak faktor yang dapat dikesan menyebabkan wujudnya kecelaruan. Salah satunya ialah keluarga tidak memainkan peranan yang wajar dalam pembentukan watak anak-anak sehinggakan anak-anak mereka mudah terjebak dalam gejala pembuangan bayi ini.

Menurut pensyarah di Jabatan Pedagogi dan Psikologi Pendidikan, FakultiPendidikan, Universiti Malaya, Prof Dr. Suradi Salim, secara umumnya golongan tersasar ini boleh dibahagikan kepada tiga kumpulan iaitu pertama ialah mereka yang tiada langsung asas, pendidikan dan perasaan terhadap agama. Kedua pula ialah golongan yang mempunyai pendidikan agama, mengetahui hukum-hakam agama, tetapi kerana sesuatu yang mengecewakan, maka mereka akan memilih jalan yang menyeleweng. Kumpulan yang ketiga ialah golongan yang tahu agama, tetapi masih memilih jalan yang tersasar. Kumpulan ketiga ini walaupun mempunyai agama tetapi kurang meresap dalam diri. Oleh itu, mereka memilih untuk melakukan perkara yang menyeronokkan tanpa mengira larangan agama.

Selain itu, remaja tersebut apabila mengetahui dirinya mengandung, sifat benci pada anak, pada lelaki yang tidak bertanggungjawab begitu meluap-luap sehingga tidak ada perasaan keibuan pada anak. Rasa kebencian dan kesan dari segi psikologi mengenai penolakan ini amat kuat pada bayi yang dikandung hingga sedikit pun mereka tidak mempunyai perasaan kasih walaupun bayi itu dilahirkan dengan selamat. Hal ini mnyebabkan remaja membuang bayi mereka sama ada masih hidup atau sudah mati.

Kesimpulannya dalam sejarah dahulu hanya ada dua jenis pembuangan bayi yang wujud iaitu yang pertama pada zaman Firaun di mana bayi lelaki dibunuh dan kedua pada zaman Jahiliah, anak- anak yang dibuang adalah perempuan. Tetapi pada zaman sekarang, manusia mutakhir sanggup membuang anak tidak kira lelaki dan perempuan.Fikir-fikirkanlah.

Disediakan oleh: WAN IBRAHIM BIN WAN OMAR
Nombor matrik:  207077

RENUNGKANLAH WAHAI INSAN BERNAMA MANUSIA

Secara konklusinya, masalah pembuangan bayi sememangnya berpunca dari kesilapan sorang manusia yang berhati busuk dan tidak berhati perut. Tidak keterlaluan saya katakan orang tersebut merupakan seorang yang terkutuk kerana sanggup melakukan perkara ini semata-mata untuk menutup kesalahan diri walhal bayi tersebut merupakan darah dagingnya sendiri iaitu seorang manusia sepertinya. Jikalau demikian, mengapa dia sanggup mencampak anak kecil tersebut ke dalam tandas, longkang, tong sampah dan sebagainya? Pada pendapat saya,inilah yang dikatakan manusia berhati syaitan. Adakah dia tidak menyedari akan perkara ini?

        Walau bagaimanapun, orang yang melakukan perkara ini tidak boleh disalahkan seratus peratus kerana institusi keluarga dan masyarakat turut menjadi salah satu penyumbang yang menjadikan si pembuat nekad melakukan perkara tersebut. Hal ini jelas kelihatan dalam konteks masyarakat kini yang sering bersikap lepas tangan dan endah tidak endah terhadap orang lain. Masyarakat menganggap mereka hanya akan bersikap menjaga tepi kain orang lain sedangkan mereka perlu prihatin mengambil berat terhadap perkara seumpama ini. Mereka juga tidak sedar bahawa perkara ini melibatkan nyawa seorang manusia walaupun masih bayi dan belum sempat melihat dunia.

        Sebenarnya, masalah seumpama ini boleh diatasi dan dicegah dengan berkesan sepertimana yang telah dibincangkan sebelum ini. Setiap individu dalam segenap lapisan masyarakat perlulah turun tangan dan ikut serta dalam menangani hal-hal seperti ini. Kita tidak seharusnya bergantung harap sepenuhnya terhadap pihak-pihak tertentu seperti pihak yang berkuasa dan pihak kerajaan sahaja yang bertanggungjawab untuk menyelesaikan masalah ini.

        Oleh yang demikian, saya menyeru kepada saudara-saudari, tuan-tuan dan puan-puan agar meluaskan pemikiran matang anda semua mengenai masalah ini supaya tidak ada implikasi-implikasi yang timbul. Di manakah hilangnya nilai dan moral seorang yang beragama dan berbudaya sehingga sanggup membunuh insan kecil yang belum mengenal dunia? Di manakah silapnya?

Disediakan oleh: MOHD. SYUKRI BIN MOHD. RUSTIM
Nombor matrik: 204880

Khamis, 15 Julai 2010

SOSIAL...


masalah sosial kini menjadi isu hangat...
Adakah semua ini punyai penyelesaian...
kumpulan kami akan mengetengahkan isu sosial pada laman ini.

^_^..