Jumaat, 27 Ogos 2010

RENUNGKANLAH WAHAI INSAN BERNAMA MANUSIA

Secara konklusinya, masalah pembuangan bayi sememangnya berpunca dari kesilapan sorang manusia yang berhati busuk dan tidak berhati perut. Tidak keterlaluan saya katakan orang tersebut merupakan seorang yang terkutuk kerana sanggup melakukan perkara ini semata-mata untuk menutup kesalahan diri walhal bayi tersebut merupakan darah dagingnya sendiri iaitu seorang manusia sepertinya. Jikalau demikian, mengapa dia sanggup mencampak anak kecil tersebut ke dalam tandas, longkang, tong sampah dan sebagainya? Pada pendapat saya,inilah yang dikatakan manusia berhati syaitan. Adakah dia tidak menyedari akan perkara ini?

        Walau bagaimanapun, orang yang melakukan perkara ini tidak boleh disalahkan seratus peratus kerana institusi keluarga dan masyarakat turut menjadi salah satu penyumbang yang menjadikan si pembuat nekad melakukan perkara tersebut. Hal ini jelas kelihatan dalam konteks masyarakat kini yang sering bersikap lepas tangan dan endah tidak endah terhadap orang lain. Masyarakat menganggap mereka hanya akan bersikap menjaga tepi kain orang lain sedangkan mereka perlu prihatin mengambil berat terhadap perkara seumpama ini. Mereka juga tidak sedar bahawa perkara ini melibatkan nyawa seorang manusia walaupun masih bayi dan belum sempat melihat dunia.

        Sebenarnya, masalah seumpama ini boleh diatasi dan dicegah dengan berkesan sepertimana yang telah dibincangkan sebelum ini. Setiap individu dalam segenap lapisan masyarakat perlulah turun tangan dan ikut serta dalam menangani hal-hal seperti ini. Kita tidak seharusnya bergantung harap sepenuhnya terhadap pihak-pihak tertentu seperti pihak yang berkuasa dan pihak kerajaan sahaja yang bertanggungjawab untuk menyelesaikan masalah ini.

        Oleh yang demikian, saya menyeru kepada saudara-saudari, tuan-tuan dan puan-puan agar meluaskan pemikiran matang anda semua mengenai masalah ini supaya tidak ada implikasi-implikasi yang timbul. Di manakah hilangnya nilai dan moral seorang yang beragama dan berbudaya sehingga sanggup membunuh insan kecil yang belum mengenal dunia? Di manakah silapnya?

Disediakan oleh: MOHD. SYUKRI BIN MOHD. RUSTIM
Nombor matrik: 204880

1 ulasan:

  1. Saya setuju dengan pendapat kamu. Fikirkan dahulu sebelum menjalinkan hubungan seks. Sebagai ibu bapa haruslah bertanggungjawab ke atas anak sendiri. Di manakah belas dan kasihan kamu?

    BalasPadam